[1]
Yaa, Siin.
[2]
Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran
yang tetap kukuh,
[3]
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul)
dari Rasul-rasul yang telah diutus,
[4]
Yang tetap di atas jalan yang lurus (ugama Islam).
[5]
Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi
Maha Mengasihani,
[6]
Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang
datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah
mereka lalai.
[7]
Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan
mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.
[8]
Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka
tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan mereka
kebatang leher mereka; (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu
mereka lalu menjadilah mereka terdongak.
[9]
Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta
benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada
memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan
mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada)
di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka
dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).
[10]
Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau
beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya – mereka tidak akan
beriman.
[11]
Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan
mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia
menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman
semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu
berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang
mulia.
[12]
Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan
Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan
dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami
catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.
[13]
Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib
mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka
didatangi Rasul-rasul (Kami),
[14]
Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu
mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul
yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: ` Sesungguhnya kami ini adalah
diutuskan kepada kamu ‘.
[15]
Penduduk bandar itu menjawab: “Kamu ini tidak lain hanyalah
manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan
sesuatupun (tentang ugama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah
berdusta”.
[16]
Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa
sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu,
[17]
“Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya
dengan cara yang jelas nyata”.
[18]
Penduduk bandar itu berkata pula: “Sesungguhnya kami merasa
nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak
berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan
merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang
tidak terperi sakitnya”.
[19]
Rasul-rasul itu menjawab: “Nahas dan malang kamu itu adalah
disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi
peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang
kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu
adalah kaum pelampau”.
[20]
Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang
lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan
katanya:” Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu -
[21]
“Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu
balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk”.
[22]
Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima ugama mereka?
Maka jawabnya): “Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan
yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?
[23]
“Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah?
(Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak
menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang
syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.
[24]
“Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada
ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.
[25]
“Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka
dengarlah (nasihatku)”,.
[26]
(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: “Masuklah ke
dalam Syurga”. Ia berkata; “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui -
[27]
“Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh
Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan”.
[28]
Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati)
sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak
perlu Kami menurunkannya.
[29]
(Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan
(yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup
lagi.
[30]
Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang menimpa
hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran)! Tidak datang kepada mereka seorang
Rasul melainkan mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.
[31]
Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang
telah Kami binasakan sebelum mereka? Umat-umat yang telah binasa itu tidak
kembali lagi kepada mereka (bahkan kembali kepada Kami, untuk menerima
balasan).
[32]
Dan tidak ada satu makhluk pun melainkan dihimpunkan ke
tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).
[33]
Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan
kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan
daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.
[34]
Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur,
dan kami pancarkan padanya beberapa matair,
[35]
Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang
dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?
[36]
Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk
semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri
mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.
[37]
Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah
malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada
dalam gelap-gelita;
[38]
Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia
kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan
yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;
[39]
Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa
peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke
peringkat awalnya – (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.
[40]
(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah
baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana
tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.
[41]
Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa
belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat;
[42]
Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang
sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya.
[43]
Dan jika kami kehendaki, kami boleh tenggelamkan mereka;
(kiranya Kami lakukan yang demikian) maka tidak ada yang dapat memberi
pertolongan kepada mereka, dan mereka juga tidak dapat diselamatkan, -
[44]
Kecuali dengan kemurahan dari pihak Kami memberi rahmat dan
kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa.
[45]
Dan apabila dikatakan kepada mereka: ” berjaga-jagalah kamu
akan apa yang ada di hadapan kamu (dari urusan-urusan hidup di dunia ini), dan
apa yang ada di belakang kamu (dari huru-hara dan balasan akhirat), supaya kamu
beroleh rahmat”, (mereka tidak mengindahkannya).
[46]
Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang
sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan tuhan mereka melainkan mereka
selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).
[47]
Dan apabila dikatakan kepada mereka:” Dermakanlah sebahagian
dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu”, berkatalah orang-orang yang
kafir itu kepada orang-orang yang beriman (secara mengejek-ejek): ” Patutkah
kami memberi makan kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Ia akan
memberinya makan? Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata”.
[48]
Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan
akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): ” Bilakah datangnya (hari
akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami
sedia menunggu)!”,
[49]
Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang – (dengan
secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka
bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing).
[50]
Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang
pesanan (wasiat atau lainnya), dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak
sempat kembali kepada keluarganya.
[51]
Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan
orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya
segera bangkitkeluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.
[52]
(Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup
semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari
kubur tempat tidur kami?,, (Lalu dikatakan kepada mereka): ” Inilah dia yang
telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang
disampaikan oleh Rasul-rasul!,
[53]
Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan
serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa
hadir (untuk menerima balasan).
[54]
Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya
sedikitpun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu
telah kerjakan.
[55]
Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam
keadaan sibuk leka menikmati kesenangan;
[56]
Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat
yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;
[57]
Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan,
dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;
[58]
(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang
Maha Mengasihani.
[59]
Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir):
“Berpisahlah kamu pada hari ini, hai orang-orang yang berdosa, (dari bercampur
gaul dengan orang-orang yang beriman).
[60]
“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam,
supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap
kamu!
[61]
“Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah
jalan yang lurus.
[62]
“Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan
yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka
tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?
[63]
“Yang kamu saksikan sekarang ialah neraka Jahannam, yang
kamu selalu diancam memasukinya (kalau kamu tidak taatkan perintah Allah).
[64]
“Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan
kufur yang kamu telah lakukan!”
[65]
Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan
(memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan
masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka
telah usahakan.
[66]
(Matahati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau
Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka
menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa
mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat
melihatnya?
[67]
(Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau
kami kehendaki, kami berkuasa mangubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku
beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat
mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang.
[68]
Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan
umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat
ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?
[69]
(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan
syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang
Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab
Suci yang memberi penerangan;
[70]
Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup
(hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang
kufur ingkar.
[71]
Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah
menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis
makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?
[72]
Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian
di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan.
[73]
Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada
binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu
bersyukur?
[74]
Dan tergamak mereka menyembah beberapa tuhan yang lain dari
Allah, (dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (dari makhluk-makhluk
itu).
[75]
Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali
menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan
dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka.
[76]
Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita
disebabkan tuduhan-tuduhan mereka (terhadapmu). Sesungguhnya Kami sedia
mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan.
[77]
Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami
telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami
sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena
menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya
(mengenaikekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),
[78]
Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami
(tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil
ia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur
seperti debu?”
[79]
Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan
oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha
Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);
[80]
“Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari
pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu
menyalakan api daripohon-pohon itu”.
[81]
Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang
telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) – berkuasa
menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui
dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi
Yang Maha Mengetahui.
[82]
Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki
adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah
engkau! “. Maka ia terus menjadi.
[83]
Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap:
Subhaanallah!) – Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan
kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.
2 comments:
bestt sgtt music blog diaa...huhu...cam nk nangis jer... :(
Post a Comment